AYER KEROH: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki pil ecstasy, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Omar, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hurman Hussain, selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis 3, 4, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 0.80 gram, yang disenarai dalam jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952, pada jam 2.30 petang, 23 Mac lalu di Pangsapuri Pasir Puteri, Kampung Portugis, Ujong Pasir.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban, mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh kemudian merayu dibenarkan jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Hurman menawarkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh dan menetapkan 8 Mei depan untuk serahan laporan kimia, sebutan semula kes dan lantikan peguam – berita harian