IPOH: Guru yang berhasrat menetap di kuarters Kediaman Institut Pendidikan (KIP) disaran menggunakan saluran yang betul bagi memastikan mereka ditempatkan di unit yang berkeadaan baik dan sempurna.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata guru terutama mereka yang baru menyertai perkhidmatan perlu berdaftar dan mendapat kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah terlebih dahulu untuk tinggal di kuarters.

“Dengan permohonan itu, PPD akan mencari tempat dan letak mereka di kuarters yang mempunyai kelengkapan lengkap seperti bekalan air, elektrik dan perabot asas.

Sekiranya prosedur ini diikuti, saya pasti masalah unit rosak dan tidak diselenggara tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata guru juga perlu memainkan peranan melaporkan kerosakkan unit kuarters yang diadami agar kerja penyelenggaraan dapat dilakukan segera, katanya.

Katanya sekiranya kerosakkan itu agak teruk mereka akan dipindahkan ke unit yang lebih baik.

Dr Muhammad Amin bagaimanapun tidak menafikan ramai guru di negeri yang lebih cenderung memilih mencari penempatan sendiri berikutan faktor jarak antara kuarters dan sekolah mereka mengajar.

Katanya isu penambahbaikan kuarters guru dikendalikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan perbincangan untuk memindahkan kuasa itu kepada negeri masih berjalan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah memandang ringan isu kualiti kuarters guru dan sedia membantu supaya mereka mendapat kediaman yang selesa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mat Lazim Idris berkata isu kuarters guru yang tidak diselenggera dengan baik di sekitar daerah Kerian sudah dalam laporan jabatan.

“Terdapat lima unit KIP di sekitar daerah Kerian dan kebanyakkannya masih lagi dalam keadaan baik.

Kami nasihatkan guru supaya tidak agar bimbang kerana pihak PPD akan memastikan kuarters ini dapat menempatkan guru yang baru mulakan tugas,”katanya lagi.