GEORGETOWN: Seorang guru disiplin didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas tuduhan membunuh isterinya di sebuah pangsapuri di Air Itam, Ahad minggu lalu.

Tertuduh, Lim Fong Aun, 42, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret L Umma Devi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh isterinya, T Santhi, 39, dengan cara memukul di bahagian kepala dengan menggunakan rak penyidai baju di rumah sewa mereka di Taman Seri Indah, Air Itam, kira kira jam 10 malam 18 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Umma Devi menetapkan 27 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan bedah siasat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Syafiq Mohd Sazalli manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Dalam kejadian 10 malam, Ahad minggu lalu, guru disiplin berkenaan memukul kepala isterinya dengan rak penyidai baju selepas mereka bertengkar dalam bilik.

Dia kemudian pulang ke kampungnya di Kulim, Kedah, sejam selepas itu dan kembali ke rumah mereka keesokannya harinya sebelum mendapati isterinya masih tidak sedarkan diri.

Guru disiplin berkenaan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga yang kemudian menasihatinya membuat laporan polis.

Susulan daripada laporan itu, polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan lanjut menemui mayat isterinya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dalam bilik tidur – berita harian