KOTA BELUD: Tindakan seorang guru lelaki memuat naik gambarnya memegang senapang angin yang dipercayai untuk menembak burung melalui Facebook, mengundang padah apabila ditahan, awal pagi tadi.

Guru berusia 33 tahun itu ditahan berhampiran rumahnya di sebuah kampung di daerah ini pada jam 1.10 pagi selepas gambar dimuat naik itu tersebar di media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya turut merampas selaras senapang angin warna hitam dan set kelopak mengandungi peluru pelet, set kelopak kosong, tiub minyak gris dan beg senjata bercorak celoreng.

“Lelaki itu ditemui dalam semak bersebelahan pokok pisang berhampiran rumahnya sebelum menunjukkan karung guni yang mengandungi senjata itu.

“Soal siasat mendapati dia membeli senjata itu secara atas talian dari China dan memasangnya sendiri berdasarkan buku panduan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Guru itu dikatakan pernah menembak burung di Kampung Tempasuk di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya – berita harian