KLANG: Tiga guru termasuk seorang guru besar yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam atas kesalahan membabitkan rasuah berkaitan pertukaran sekolah, direman tiga hari.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Klang, Azimah Mohd Yusof, membenarkan permohonan perintah reman terbabit terhadap semua suspek lelaki yang berusia antara 35 hingga 52 tahun itu, bermula hari ini.

Kesemua mereka bertugas di sebuah sekolah rendah di Pandamaran, dekat sini.

Kira-kira jam 3.25 petang semalam, ketiga-tiga individu itu ditahan di sebuah restoran di Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Sumber SPRM memaklumkan, seorang suspek dikatakan meminta dan menerima wang suapan daripada pengadu sebanyak RM5,000 sebagai balasan untuk memohon guru besar menyokong permohonan pengadu bertukar ke sekolah lain.

Selain menahan semua suspek, SPRM turut menyita wang tunai terbabit yang ditemui di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 – berita harian