KUALA KANGSAR: Seorang guru maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 256 menghala utara di Lebuhraya Utara Selatan dekat Kuala Kangsar pada Ahad.

Mohamad Faizun Ahmad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Norehan Abd Rashid yang turut berada di dalam kereta itu, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 petang ketika mangsa memandu kereta jenis Proton Iriz dari Ipoh ke Kuala Kangsar.

“Siasatan awal mendapati kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan, menyebabkan bahagian hadapan kereta remuk teruk.

“Akibat kemalangan itu, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan,” katanya.

 

Guru Maut

Wan Jamil memberitahu, siasatan awal juga mendapati terdapat serpihan kemalangan di tempat kejadian semasa insiden itu berlaku.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat manakala kereta mangsa akan dihantar ke Puspakom Taiping untuk pemeriksaan,” ujarnya..

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis menyiasat kes ini di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.