BATU PAHAT: Percutian sempena Tahun Baharu Cina bertukar tragedi buat seorang guru, apabila dia terbunuh, manakala suami bersama dua anak mereka serta ibunya cedera selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan pacuan empat roda, kira-kira satu kilometer dari kediaman keluarga itu dekat Jalan Bindu di sini, pagi tadi.

Dalam nahas di Kilometer 4.5, Jalan Bindu kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa Nur Farhana A Razak, 29, mati di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala suaminya, Mohamad Hashim Marhaban, 31, yang memandu Perodua Myvi kini kritikal dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Ibu mangsa, Hazah Abd Kadir, 60, serta dua anak pasangan itu, Muhammad Hadif Zafri Mohamad Hashim, 3, dan Muhammad Hafiy Iman Mohamad Hashim, 11 bulan, turut cedera tetapi dalam rawatan di HSNI.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kemalangan berkenaan berlaku ketika mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan dari arah Jalan Kluang menghala ke Tongkang Pechah.

“Siasatan awal mendapati ketika kereta yang dipandu suami mangsa tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan memasuki laluan mereka secara mengejut.

“Kejadian itu menyebabkan pacuan empat roda terbabit menghentam PERODUA MyVi dinaiki keluarga terbabit, menyebabkan mangsa yang duduk di tempat penumpang hadapan mati di lokasi, manakala semua ahli keluarganya cedera termasuk suaminya parah,” katanya.

Abdul Wahib berkata, pemandu pacuan empat roda berkenaan yang turut mengalami kecederaan juga dikejarkan ke HSNI untuk rawatan.

Katanya, polis akan menahan pemandu pacuan empat roda berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berikutan kemalangan berkenaan berpunca daripada kecuaiannya .

Sementara itu, adik mangsa, Farid A Razak, 26, yang ditemui di Unit Perubatan Forensik HSNI, di sini, berkata kakak sulung bersama keluarganya itu tiba ke kampungnya malam tadi untuk menghabiskan cuti Tahun Baharu Cina.

“Kak Long dan keluarga baru tiba dari Gemas, Negeri Sembilan malam tadi bagi meluangkan masa berkumpul bersama keluarga sempena musim cuti perayaan ini.

“Ketika kemalangan Kak Long, abang ipar, ibu saya serta dua anak saudara dalam perjalanan dari pekan untuk pulang ke rumah selepas membeli beberapa kelengkapan untuk memasak – berita harian