TAPAH: Warga pendidik perlu bersiap sedia dan sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta teknik pengajaran yang relevan, selaras dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersifat tradisional semata-mata tanpa menyelitkan unsur teknologi dan inovasi.

“Ledakan teknologi dan internet yang begitu meluas membuatkan pelajar kita berbeza dengan generasi terdahulu; mereka lebih yakin dan kreatif.

“Kita (warga pendidik) perlu sering membayangkan bagaimana kaedah pembelajaran pada tahun 2050 nanti dan kita perlu mengadaptasikannya bermula dari sekarang,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis Sedetik Bersama Seabad Terasa, YAB Menteri Besar Perak Bersama Warga Pendidik Daerah Batang Padang & Kampar di SM Sains Tapah di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan barisan Exco kerajaan negeri.

Tambah Dr Zambry, dalam masa yang sama, warga pendidik juga perlu berpegang kepada matlamat asas pendidikan iaitu mengubah masyarakat menjadi lebih baik.

“Matlamat utama pendidikan itu perlu kita pegang iaitu mengubah masyarakat itu sendiri menjadi manusia yang lebih baik.

“Walaupun dengan ledakan teknologi ketika ini dan generasi baharu yang semakin pintar, amat penting untuk kita menerapkan nilai kemanusiaan,” ujar beliau.

Lebih 300 warga pendidik serta 400 pelajar sekitar Tapah telah menghadiri program berkenaan.

Terdahulu, Dr Zambry meluangkan masa sekitar 45 minit bermain pelbagai permainan tradisi seperti Dam Ular, Tuju Getah dan Tuju Tin bersama guru-guru yang hadir.