BAGAN SERAI – Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Perak bukan guru kelas kedua kerana kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif supaya golongan itu tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan pendidikan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk modal insan yang berilmu dan beramal.

Drs Nizar dalam program sambutan hari guru KAFA Daerah Kerian

Sehubungan itu, kata beliau, guru SAR mesti mampu untuk mengurus dan mentadbir dengan sistematik untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai ilmu dunia dan akhirat.

“Kecekalan, kebolehupayaan dan kecemerlangan mesti diberi pencerapan yang sebaik mungkin oleh guru-guru ini, khususnya untuk mempastikan murid-murid khatam al-Quran di samping menduduki peperiksaan UPKK dan SRAI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ramah mesra dan sambutan hari guru bersama guru-guru KAFA Daerah Kerian sempena Pemukiman YAB Menteri Besar di Daerah Kerian di Dewan Komuniti Bagan Serai pada Selasa.

Hampir 300 guru KAFA dari seluruh Daerah Kerian menghadiri program itu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Terdahulu Drs Nizar memulakan hari pertama pemukiman dengan menghadiri program ramah mesra dan mendengar taklimat bersama pegawai tadbir agama (PTA) di Pejabat Agama Islam Bagan Serai.

Beliau kemudiannya menziarahi 10 warga emas, orang kurang upaya dan saudara baru di Kampung Parit Mentara sekat sini dan menyerahkan bantuan kotak makanan kepada mereka.

Menurut Drs Nizar, program turun padang dan ziarah itu antara lain bertujuan untuk melihat sendiri keadaan golongan berkenaan di samping memberi kata-kata peransang untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Program ini sangat baik untuk menyambung silaturrahim antara pemimpin dan rakyat supaya saling memahami masalah masing-masing, umpama cubit peha kanan, peha kiri juga terasa,” ujarnya.

Di sebelah tengahari, exco kerajaan negeri itu menghadiri program Jom Sembelih, Rewang dan Rakyat Bersama YBU di Dewan Terbuka Bagan Tiang di mana 50 beliau mengambil bahagian di dalam kursus penyembelihan mengikut Islam.

Drs Nizar berkata, walaupun perkara itu dianggap remeh tetapi ia sangat penting sebagai persediaan untuk menghadapi majlis kenduri kendara dan sambutan Hari Raya Korban.

“Jika tidak diberi kursus teori dan praktikal, mungkin mereka berasa takut, was-was atau tidak yakin untuk melaksanakan penyembelihan yang akhirnya boleh menimbulkan kesulitan di masa hadapan,” katanya.

Sebaik selesai program tersebut, Drs Nizar bersama-sama ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat melawat Sekolah Rendah Agama Rakyat Taufikiah Ad-Diniah untuk melihat sendiri keadaan sekolah itu yang mempunyai hampir 400 murid yang mengikuti dua sesi pengajian.

“Saya telah menasihatkan mereka supaya memanjangkan permohonan kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih dan membesarkan sekolah itu bagi memberi keselesaan kepada murid-murid,” kata beliau.