IPOH: Guru-guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) perlu memainkan peranan untuk membimbing generasi muda supaya menggunakan kreativiti mereka dengan cara yang betul.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, usaha bimbingan itu mesti dilakukan bermula di peringkat sekolah rendah lagi.

Menurut beliau, sebagai ustaz dan ustazah yang dihormati, guru-guru SAR boleh memainkan peranan yang cukup berkesan supaya generasi muda tidak menggunakan kreativiti mereka dengan cara yang salah.

“Anak-anak lazimnya sangat kreatif dan inovatif tetapi kita perlu bimbing mereka dengan baik,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan majlis taklimat kepada 101 guru baru SAR di INTIM di sini pada Khamis.

Beliau merujuk kepada isu viral kumpulan berani mati yang memanjat papan iklan ‘IPOH’ dan kren di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Drs Nizar berkata, guru-guru agama di Perak mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan kerjaya mereka sehingga ke peringkat tertinggi.

Beliau memberi contoh selain daripada perlindungan insuran, mereka juga di beri peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Kita tidak akan menghalang sekiranya mereka mendapat peluang untuk meningkatkan kerjaya ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Drs Nizar menasihatkan guru-guru SAR supaya tidak merasa rendah diri dan menganggap mereka guru kelas kedua.

Sebaliknya, ujar beliau, mereka perlu berbangga kerana menjadi ustaz dan ustazah yang membimbing generasi muda yang berilmu dan beramal.

“Hasil usaha mereka dan dasar kerajaan, hari ini kita lihat ramai doktor yang hafiz, pilot hafiz, jurutera hafiz dan banyak lagi kumpulan profesional yang hafiz,” tambanya.