KOTA BHARU: Seorang guru silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mencabul seorang wanita di sebuah hotel bajet, di sini, September lalu.

Pengakuan tertuduh, Ahmad Syamim Rosli, 28, direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita berusia 40 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa di bilik sebuah hotel di sini jam 12.30 tengah hari, pada 25 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizuan Sulaiman menawarkan wang ikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes – berita harian