IPOH: Kerajaan Negeri, menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bercadang untuk mewujudkan hab belia di daerah Manjung, Hilir Perak, Kinta dan Taiping, menjelang tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, dalam jangka masa panjang, PASAK juga bakal membangunkan hab belia di semua daerah di Perak.

Katanya, hab tersebut akan berfungsi sebagai pusat aktiviti dan kesenian belia, pusat sumber maklumat, tempat beriadah, pusat kebajikan belia serta pusat setempat untuk warga belia mencari peluang-peluang kerjaya.

Di samping itu, ujarnya, PASAK turut merangka beberapa inisiatif mulai tahun hadapan, antaranya, merancang mewujudkan Majlis Sukan Elektronik Negeri, Jaringan Sukarelawan negeri, Jaringan Anak Perak luar Perak, Persidangan Belia, Akademi Rakyat (AKADEMOS), Program Mentor Usahawan dan lain-lain.

“Hab Belia Perak akan merangkumi pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh persatuan-persatuan di daerah berkenaan dan memberi peluang kepada belia menegahkan bakat kepimpinan dan kemahiran mereka demi pembangunan belia secara kondusif yang akan menguntungkan masyarakat setempat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Jenny Choy Tsi Jen (DAP Canning) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menjawab soalan tambahan Salbiah Mohamed (BN – Temengor) Home Of Silveryouth (HOS) di Kinta Riverfront, Howard Lee berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan baharu telah pun menggerakkan usaha sedemikian sebaik memegang tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, dalam masa enam bulan sebelum peralihan kuasa, ia tidak digunakan dan diperkasakan oleh pentadbiran dahulu.

Sebaliknya, kata beliau, selepas peralihan kuasa berlaku, kerajaan negeri baharu dan anggota PASAK telah mengadakan program di HOS termasuk program antara portfolio seperti program Hari Kebangsaan negeri, Sama-Sama.

“Setiap perbincangan dan program melibatkan belia, pemain industri dan program e-sukan turut kita adakan di situ,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN – Rungkup), beliau berkata, dalam tempoh enam bulan sebelum pilihan raya, hanya program atas dasar sewaan lokasi sahaja yang diadakan sebaliknya tiada program kerajaan mahupun agensi negeri diadakan di situ.