IPOH: Sebuah kawasan perindustrian sektor automotif bertaraf antarabangsa bernilai RM7 bilion hasil usahasama kerajaan negeri Perak dan Syarikat Mobile Starhill (M) Sdn Bhd bakal dibangunkan di daerah Muallim dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata Hab Mega Komponen Auto dan Infrastruktur yang dijalankan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu merupakan inisiatif murni untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Selatan negeri ini di samping mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan tenaga mahir.

Katanya, pelaburan prospektif yang dijalankan di atas tanah berkeluasan 40.47 hektar itu merupakan salah satu nilai tambah untuk menarik pelabur tempatan serta luar negara sekaligus menembusi pasaran automotif di rantau ASEAN.

“Saya amat bersyukur di atas kerjasama Mobile Starhill (M) Sdn Bhd yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak PKNP dan ini merupakan satu kejayaan bagi PKNP kerana telah berjaya menarik pihak swasta walaupun baru sahaja menerajui perbadanan dengan pentadbiran baharu.

“Insya Allah, peluang pekerjaan, perniagaan dan pembangunan di daerah Muallim ini akan kita pertingkatkan dengan sepantas kilat selepas ini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNP, Mohd Ariff Yeop Ishak dan Pengerusi Eksekutif Syarikat Mobile Starhill (M) Sdn Bhd di Dewan Makan ADUN, Aras Dua, Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga mensasarkan lebih banyak usahasama antara badan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak dalam usaha meningkatkan hasil negeri dan pelaburan pada masa depan.

Malah, Ahmad Faizal berkata pihak kerajaan negeri bersedia untuk membantu proses persiapan bagi membolehkan hab mega yang menempatkan pelbagai vendor dari dalam dan luar negara yang sebelum ini berpengkalan di Shah Alam dimulakan di Muallim dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Tan Sri Dr. Goh Tian Chuan berkata pihaknya amat menerima baik maklum balas dan ketersediaan kerajaan negeri yang membantu dalam merealisasikan kerjasama ini bersama PKNP untuk meningkatkan sumber tenaga mahir di Perak.

“Kita akan membawa vendor dari dalam dan luar negara di Muallim kelak dan peluang ini akan membolehkan kita melatih lebih daripada 10,000 tenaga mahir di hab ini, dengan memfokuskan nisbah pekerja kepada pekerja tempatan, bagi meningkatkan pendapatan rakyat negara kita,”katanya lagi.