KUALA LUMPUR – Pindaaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan perdana menteri selama dua penggal sahaja akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan melibatkan Perkara 43 Fasal 2 bagi mengadakan peruntukan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri jika dia pernah memegang jawatan tersebut bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Cadangan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bagi mengelak salah guna kuasa adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam ciapannya di Twitter memuat naik sebahagian dokumen pindaan akta berkenaan.

Dalam ciapan sama beliau turut menegaskan: “Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan jawatan PM (Perdana Menteri) ke dua penggal dibentang pagi ini #historic,” katanya.