Sesi dialog dengan Abdul Hadi Awang di London semalam, bertukar panas apabila seorang hadirin menggelar presiden PAS itu sebagai “rasis” kerana menentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Hadi yang menjawab dengan tenang soalan lelaki itu berkata, PAS menolak cadangan DAP dan PKR untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia akan menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu-satu kaum sahaja.

“Bila penduduk tertentu kuasai bandar, sudah tentulah bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, Johor Bahru semua dikuasai kaum Cina DAP.

“Mereka boleh buat apa sahaja, mereka boleh benarkan arak, benarkan judi,” kata Hadi.

Lelaki itu kemudian menyampuk dengan mengatakan perniagaan yang dijalankan kaum Cina menyumbang pendapatan dan cukai kepada kerajaan.

“Kita boleh benar, oleh sebab itu (pilihan raya PBT) mesti melibatkan pemandu teksi, melibatkan semua pihak yang menghidupkan bandar.

“Kalau satu kaum saja yang menguasai akan timbul 13 Mei balik, kita mengalami peristiwa berdarah 13 Mei,” kata Hadi.

Kenyataan Hadi mengenai peristiwa 13 Mei telah membangkitkan kemarahan individu berkenaan apabila dia terus meninggikan suara.

Lelaki itu berkata Hadi yang mengikut ajaran al-Quran telah menyebabkan fikirannya “terperangkap pada tahun 1969.”

“Jika kamu mahu Malaysia maju dan bersaing dengan negara-negara lain, kamu perlu keluar dari kebodohan kamu,” kata lelaki itu.

Apabila seorang hadirin lain dengan lembut meminta lelaki itu bertenang, dia menjawab dengan kata-kata kesat dan memberitahu individu lain supaya tidak masuk campur.

Lelaki itu – yang mendakwa telah mengumpul dana untuk PAS pada tahun 2013 – kemudian mencabar hadirin lain berjumpa dengannya “di luar”, sebelum menggelar Hadi sebagai perkauman dan perkataan kesat lain.

Hadi megulangi kenyataannya bahawa pilihan raya PBT boleh dijalankan dengan syarat ia tidak dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja.

“13 Mei tidak berlaku di Kelantan dan Terengganu. Tempat orang Islam tidak berlaku 13 Mei. Keluarga Cina dan India boleh hidup di Kelantan dan Terengganu.

“Cina dan India tidak diganggu,” tambahnya – Malaysia kini