MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkeyakinan tinggi keputusan kes saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London minggu depan akan berpihak kepada beliau.

Difahamkan, perbicaraan kes berkenaan akan disambung semula esok dan keputusannya dapat diketahui beberapa hari selepas itu.

“Kita dah hantar dokumen-dokumen penting melalui wakil peguam kita di sini…peluang kita 80 peratus akan berjaya, insya-Allah.

“Kita dah minta dia (Rewcastle-Brown) meminta maaf tetapi dia enggan, maka kita teruskan (saman),” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian selepas majlis ceramah perdana dan memperkenalkan calon PAS kawasan Marang di Pasar Binjai Rendah di sini, malam tadi.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Ia berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Ditanya mengenai jumlah tuntutan itu, Abdul Hadi berkata, ia membabitkan nilai yang wajar di United Kingdom – berita harian