Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Memenangi pingat emas merupakan impian Cheong Jun Hoong sejak dari kecil, kata ibunya, Leow Lai Kwan sambil menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada anaknya.

“Inilah impiannya dari kecil, untuk mendapatkan (pingat) emas. Terima kasih Malaysia atas sokongan untuk anak saya, Jun Hoong. Emas ini, emas untuk anda semua,” katanya penuh emosi ketika ditemui Suara Perak di kediamannya di Kampung Kepayang di sini, hari ini.

Lai Kwan yang menyifatkan pingat emas yang dimenangi anaknya itu sebagai hadiah daripada Jun Hoong kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia, menyatakan rasa gelisah dan gementar dengan persembahan yang dilakukan Jun Hoong semasa kejohanan pada pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap yakin dengan kemampuan Jun Hoong dan keyakinan itu menjadi kenyataan apabila anak sulungnya itu berjaya mencapai impiannya, sekaligus menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam Kejohanan Akuatik Dunia (FINA).

Jun Hoong, 27, anak kelahiran Ipoh, Perak mencatat sejarah apabila meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita dengan mengumpul 397.50 mata. Sebelum ini, beliau yang berpasangan dengan Pandelela Rinong memenangi pingat perak di Olimpik Rio.

Menurut Lai Kwan, beliau tidak dapat berkata-kata apabila mendengar pengumuman anak sulungnya itu berjaya merangkul pingat emas yang diimpikannya sejak dari kecil lagi.

“Saya begitu gementar. Saya berada di hadapan televisyen bersama-sama suami sejak pukul 12.30 malam untuk menonton siaran langsung dengan perasaan berdebar-debar.

“Saya tidak dapat berkata-kata sewaktu dia diumumkan sebagai juara untuk kategori itu. Sebaik sahaja pengumuman selesai, dia terus menghubungi saya untuk memberitahu mengenai kemenangannya,” kata beliau.

Sementara itu, anak bongsunya, Jun Yeng, 24, berkata, pingat emas yang dinanti-nantikan oleh kakaknya sejak sekian lama itu adalah hasil daripada pengorbanan atlet itu selama ini.

Menurut beliau, keluarganya sering berhubung dengan Jun Hoong sewaktu penerjun itu berada di kejohanan tersebut melalui aplikasi Whatsapp untuk mengetahui perkembangan terkini beliau di sana.

“Kami tidak pernah memberikan sebarang tekanan kepada kakak saya kerana memang sudah menjadi sifatnya untuk memberikan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukannya.

“Bukan sikit pengorbanan dia. Masa bersama keluarga yang terhad, tenaga dan beberapa kali mengalami kecederaan…itu semua rutin bagi dia. Ini adalah berkat usaha beliau, sokongan Malaysia dan semua. Terima kasih banyak-banyak.

“Kami tahu, ramai yang berjaga dan menyaksikan pertandingan itu. Kami pun hanya mengetahui markah penuh ketika terjunan terakhir Jun Hoong. Buat semua, teruskan menyokong Jun Hoong,” katanya.

Jun Yeng berkata, kakaknya akan terus menyertai latihan persiapan Sukan SEA yang bakal berlangsung pada Ogos ini sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur pada 24 Julai ini (Isnin).