Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SIMPANG PULAI: Warga Perak berpeluang membawa pulang wang tunai RM10,000 yang disediakan untuk para pemenang Pertandingan Karaoke Terbuka Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT) yang bakal diadakan pada 16 hingga 17 September ini.

Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, pertandingan yang terbuka kepada semua pihak itu diadakan sempena sambutan Hari Malaysia 2017.

Katanya, nilai hadiah keseluruhan mencecah RM10,000 iaitu RM3,000 untuk juara, tempat kedua (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

“Hadiah wang tunai RM200 hingga RM700 disediakan bagi peserta yang mendapat tempat keempat hingga ke-15,” katanya kepada Suara Perak.

Fadzil berkata, pertandingan karaoke itu diilhamkan oleh rakan-rakan dan pengunjung tetap PRELUT yang gemar menghabiskani masa lapang berkaraoke di waktu hujung minggu.

Beliau berkata, ia juga memberi peluang bersantai bersama keluarga selain bagi tambahan menyokong usaha kerajaan negeri dalam memeriahkan Tahun Melawat Perak 2017.

Katanya, kemudahan seperti pentas karaoke terbuka di PRELUT yang berkonsepkan lokasi riadah keluarga membuatkan ramai berasa selesa mempersembahkan bakat nyanyian masing-masing.

“Saya membuka jemputan pertandingan karaoke ini kepada semua warga Perak dan yuran penyertaan RM100 sahaja, jadi janganlah lepaskan peluang ini.

“Sesi saringan dijadualkan pada 16 hingga 17 September yang akan diadili oleh juri professional manakala pertandingan akhir berlangsung pada 22 September,” katanya.

Tambah Fadzil, orang ramai yang berminat boleh menghubungi Puan Hazarina ( 019-244 9056) atau Encik Zulkifli (0174486608) untuk sebarang pertanyaan lanjut.