LUMUT  – Hafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 41 hari. Itu kemampuan seorang remaja lelaki, Muhammad Muttaqin Suhaimi, 18, yang mela­yakkan dia menjadi peserta yang berjaya memecah rekod peserta tahfiz dalam Program Tahfiz Integrasi An Nur (PTI) iaitu program hafal al-Quran selama tiga bulan.

Muhammad Mutta­qin berkata, sebelum menyertai PTI dia hanya mempunyai asas hafalan juzuk Amma sahaja yang dipelajari sejak berumur 13 tahun lagi dan dengan keinginan untuk menghafal lebih banyak juzuk al-Quran, dia menyertai PTI.

“Dalam program ini, saya menghafal al-Quran selepas subuh hingga pukul 8 pagi sebanyak empat muka surat manakala pukul 9 hingga 12 tengah hari pula seba­nyak tujuh muka surat dan pukul 2.30 hingga 4.30 petang sebanyak tujuh muka surat. Pada sebelah malam pula saya hafal sebanyak empat muka surat.

“Alhamdulillah, dengan usaha ini, saya berjaya menghafal al-Quran kurang dari tiga bulan,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Tahfiz Integrasi An Nur di Pasir Panjang di sini kelmarin.

Anak pertama daripada tujuh beradik itu berkata, walaupun sudah menghafal kese­mua juzuk al-Quran, namun dia tetap mengulang bacaan sehingga PTI itu habis pada 29 Mac nanti.

Muhammad Muttaqin mengakui, pada mulanya sangat susah baginya untuk menghafal dari 14 hingga 25 muka surat.

Katanya, namun de­ngan teknik tadabbur atau mengkaji dan bayangan ataupun teknik hafalan An-Nur, saya dapat menghafal al-Quran dalam masa singkat.

Menurutnya, selain itu, dia juga menghayati isi kandungan al-Quran serta mengetahui maknanya juga akan memudahkan proses hafalan.

“Untuk memudahkan proses hafalan, saya memperbanyak­kan minum air kosong dan elak­kan pengambilan makanan masam.

“Walaupun saya dapat menghafal dalam masa singkat tetapi itu tak bermakna saya perlu bermegah dan membanggakan diri,” katanya yang bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Usuluddin.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Ahmad Umair Zulkefli berkata, seramai 50 peserta terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu dari seluruh negeri menyertai PTI pada kali ini.

“Program yang dijalankan bermula 29 Disember lalu sehingga 29 Mac ini juga adalah sebagai persediaan awal sebelum peserta memasuki universiti dan pusat pengajian tinggi yang lain.

“Selain menghafal, PTI ju­ga menawarkan modul untuk mengikuti aktiviti kesukarela­wan, keusahawanan dan ke­pemimpinan dengan mengasah bakat dari segi komunikasi serta ujian personaliti bagi meningkatkan jati diri peserta,” kata­nya – Utusan online