Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PARIT: Hajat mangsa untuk berkumpul bersama saudara-mara pada Syawal kali ini seperti satu petanda bahawa dirinya bakal ‘hilang’ selama-lamanya dalam insiden lemas di Kampung Ekor Lambat,dekat sini.

Mohamad Ikhwan Mohamad Nizam,22, yang dipercayai lemas dibawa arus ketika mandi di Sungai Perak petang Ahad telah membuat perancangan untuk menghabiskan masa cuti panjang bersama saudara mara di kampung.

Namun hajat mangsa langsung tidak dianggap suatu permintaan pelik sehingga insiden menyayat hati pada Syawal ketiga lepas.

Sepupu mangsa, Muhammad Arif Zulkifli,19, berkata mangsa adalah orang paling beria-ia untuk mengumpulkan keluarga rapat di kediaman baru bapa mangsa di Kampung Ekor Lambat itu.

“Dia sangat teruja, dialah paling beria-ia merancang semuanya, mengajak kami saudara-maranya berkumpul di kampung raya ini.

“Sama sekali kami tidak sangka perasaan teruja dan gembira itu seperti satu petanda sebelum kami semua bersedih dan mengharapkan kepulangannya,”katanya ketika ditemui Suara Perak di lokasi kejadian pada Isnin.

Menceritakan detik kejadian, Arif berkata beliau pada waktu itu berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan adik mangsa yang memberitahu bahawa abangnya telah dihanyutkan arus sungai yang terletak lebih kurang 150 meter daripada rumahnya.

“Saya terus berlari ke arah sungai, dan sebaik sahaja sampai di sana saya terus terjun ke dalam, cuba menyelamatkannya tetapi agak lambat kerana kaki terperangkap di selut lumpur.

“Saya tak sempat. Saya nampak depan mata abang saudara saya yang paling rapat, hanyut dibawa arus sungai deras…tempat kami selalu bermandi-manda. Saya betul-betul tak dapat jelaskan perasaan gagal selamatkan dia,”ujarnya hiba.

Sementara itu, Ali Ridha al-Baqir Mohd Ato’ullah,19, berkata beliau juga cuba untuk menyelamatkan mangsa namun keadaan bongkah batu tajam dan arus sungai deras menghalang niatnya itu.

“Saya terus terjun dan cuba untuk mencapai tangan Ikhwan..tapi saya tak dapat kerana dia dihanyutkan ke bahagian tengah sungai.

“Pada saat itu, pakcik Nizam (ayah mangsa) terus menghidupkan enjin bot dan mengejar mangsa dengan harapan untuk menarik tangannya ke atas bot.

“Tapi, tangannya yang kami nampak terkapai-kapai meminta tolong itu semakin lama semakin hilang dan depan mata ayahnya sendiri Ikhwan hilang dari pandangan kami,”katanya lagi.

Semalam, Suara Perak melaporkan kejadian korban pertama mangsa Syawal melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai hanyut di Sungai Perak.

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Parit yang menerima bantuan dari BBP Kuala Kangsar dan Teluk Intan berkata setakat ini pihaknya menerima bantuan daripada 60 pegawai dan anggota PDRM, Rela, Bomba dan Jabatan Pengaliran dan Saliran(JPS).

Timbalan Pengarah Bomba Perak, Penolong Pesuruhjaya Sayani Saidun berkata setelah 24 jam berlalu masih belum ada penemuan mangsa oleh pihaknya.