KUALA LUMPUR : Hak kerajaan mengajar tulisan jawi di sekolah Cina dan Tamil perlu dihormati oleh semua pihak, kata Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, mahkamah telah membuat keputusan tentang perkara itu dan ia perlu diterima.

“Siapa sahaja boleh pergi ke mahkamah sebab Malaysia negara bebas. (Parti) Gerakan bawa kes ni ke mahkamah dan telahpun diputuskan bahawa kementerian dan kerajaan berhak mengajar tulisan jawi di sekolah-sekolah Cina (dan Tamil).

“…maka kita hormati keputusan mahkamah. Ini bukan keputusan politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar akademik antarabangsa dengan tema “Menerokai Masa Depan Pendidikan: Konsep, Metodologi dan Pragmatik” di Sekolah Menengah Tsun Jin di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas desakan Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) supaya pihak pentadbir sekolah diberi pilihan untuk menentukan, sama ada mahu tulisan jawi diajar di sekolah atau sebaliknya, Mujahid enggan mengulas lanjut.

Hadir sama dalam program tersebut, ahli jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong.

Khamis lalu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa tulisan jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, justeru boleh diajar di sekolah Cina dan Tamil dalam pengajaran subjek bahasa tersebut.

Ketika menolak permohonan yang difailkan Gerakan, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh berkata, kes itu perlu ditolak kerana tulisan jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, pelaksanaan kelas tulisan jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan undang-undang dalam perlembagaan persekutuan.

Dalam pada itu, Dong Zong dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi menyuarakan desakan mereka agar pihak lembaga pentadbir sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Presidennya, Tan Tai Kim berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.