IPOH: Kesatuan Minda Angkatan Muda (KeMAM) menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam menyelesaikan isu pemberian hak milik tanah 999 tahun.

Pengerusinya, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, pihaknya mengikuti isu ini dengan teliti.

“Nampaknya isu yang begitu kritikal dan rumit ini sedang dipermainkan oleh sesetengah pihak tanpa memikirkan sensitiviti rakyat terutama kaum Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu kritikal seumpama itu seharusnya diteliti secara terperinci dan Menteri Besar sudahpun menyatakan komitmen untuk menelitinya dengan merujuk kepada Majlis Tanah Negara, kerana ia menyentuh perkara yang berkait dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, kami memahami pendirian Menteri Besar untuk tidak membelakangkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara atas prinsip keluhuran perlembagaan,” ujarnya.

Menurut Dr Ahmad Safwan, adalah tidak wajar mana-mana pimpinan memberikan tekanan kepada Menteri Besar kerana ia melibatkan isu sensitif, terutama ketika kerajaan baru sahaja terbentuk dalam jangka masa 100 hari.

Katanya, dalam tempoh yang kurang tiga bulan kerajaan PH Perak telah melaksanakan pelbagai pencapaian berkaitan kebajikan masyarakat.

Beliau memberi contoh, penambahbaikan skim air percuma kepada 26,000 keluarga berpendapatan rendah, pelancaran beberapa projek perumahan mampu milik, penekanan kepada pendidikan, pemantauan lebih ketat aktiviti pembalakan yang mencemar alam sekitar dan sebagainya.

Di samping itu, kata beliau, Menteri Besar juga menunjukkan kesungguhan untuk menunaikan janji mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan beberapa perjanjian kerjasama syarikat-syarikat berkanun negeri dan pelabur tempatan dan luar negara.

“Kita perlu sedar, bukan mudah untuk menarik pelabur dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, tetapi kita bersyukur kerana Perak mula mendapat perhatian di kalangan pelabur tempatan dan luar negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri Perak, terutama pimpinan parti-parti komponen agar tetap teguh bersama kepimpinan kerajaan PH pada masa ini.

“Ada perkara yang memerlukan masa yang lebih untuk diselesaikan terutamanya membabitkan isu yang sensitif.

“Kepimpinan memerlukan sokongan yang padu supaya segala agenda mengharmonikan rakyat dapat dilaksanakan dengan licin.

“Politiking yang berlebihan bukan sahaja akan membantutkan pembangunan, bahkan akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kita,” tambah beliau.

Beliau mahu pimpinan parti komponen supaya menghentikan segala tekanan kepada kepimpinan tertinggi kerajaan negeri dan kembalilah kepada meja rundingan sambil mengelakkan segala kenyataan yang boleh merumitkan keadaan.

“Perlu diingat bahawa kepercayaan rakyat adalah bersifat conditional (bersyarat) dan ia boleh tercabut pada bila-bila masa sahaja,” tegas beliau.