IPOH – Dr Aziz Bari hari ini menegaskan beliau bukanlah pejuang bagi masyarakat Cina yang didakwa penyebab kepada kononnya desakan pajakan 999 tahun kepada kampung baharu seperti didakwa sesetengah pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi itu berkata, tidak timbul isu beliau hanya membela kaum cina kerana pemberian hak milik tanah itu juga turut melibatkan Kampung Tersusun dan peneroka Felda yang bermajoriti Melayu.

“Semalam Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu) juga telah mngesahkan tidak ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak berhubung soal tanah ini, ia hanya propaganda jahat pembangkang.

“Saya sebagai seorang yang mendalami perlembangaan hanya menceritakan dari sudut undang-undang bahawa kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan manifesto Pakatan Harapan dibawah teras ke-3 iaitu keadilan sosial dan demokrasi,” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Tambah beliau lagi, percanggahan pendapat bersama Ahmad Faizal itu juga hanya mengenai sudut perlembagaan dan isu terbabit telah pun diselesaikan.

“Menteri Besar telah mengeluarkan kenyataan untuk mewujudkan satu bengkel bagi membolehkan semua manifesto kerajaan negeri Perak dilaksanakan dan saya selaku exco menyambut baik perkara itu.

“Kita perlu menunaikan manifesto kita kepada rakyat dan dalam masa sama saya berpendapat tidak timbul isu melanggar perlembagaan. Jadi perkara ini akan dibawa ke peringkat pimpinan Pakatan Harapan untuk ditentukan,” ujarnya.

Aziz juga menjelaskan isu tanah hak milik kekal itu menjadi sensasi selepas dimanipulasikan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Pihak pembangkang telah menjadikan ia sebagai satu isu perkauman dan isu kampung baru terus disebut-sebut tanpa disertakan kampung tersusun dan peneroka felda yang majajoritnya penduduk melayu.

“Jadi tomahan mengenai saya desak Menteri Besar untuk beri tanah kepada cina ternyata hanya propaganda jahat pembangkang, saya minta semua pihak jangan terus memanipulasikan lagi isu ini,” jelas beliau.