Kuala Lumpur: Sepanjang hidupnya dia tidak boleh duduk dan hanya berdiri. Itu hakikat yang harus dilalui Juliana Louise Dorasamy, 36, setiap hari kerana menghidap Fibrodysplasia Ossificans Progressiva (FOP) dan scoliosis iaitu tulang belakang membengkok hingga berbentuk ‘s’.

FOP adalah penyakit jarang jumpa membabitkan gangguan tisu otot, tendon atau ligamen secara beransur-ansur digantikan dengan tulang hingga membentuk tulang di luar tulang sedia ada.
Menurut ibu tunggal itu, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak usianya enam tahun, namun pada masa itu kesan penyakit jarang jumpa itu belum merebak dalam badannya.

“Ketika umur saya enam tahun, saya pernah dihempap almari dan serpihan kaca terkena tangan kanan saya. Lama kelamaan luka di tangan itu menyebabkan tulang saya semakin membesar dan mengeras.

“Selepas itu, mulut saya pula tak boleh buka pada usia lapan tahun dan seterusnya kaki dan tangan. Keadaan makin teruk selepas saya tamat sekolah menengah dan kini saya tak boleh memusingkan kepala saya,” katanya.

-myMetro