IPOH – Atlet olahraga, Muhamad Hakimi Ismail dan atlet tenpin boling Sin Li Jane dinobatkan selaku Olahragawan serta Olahragawati Terbaik pada Anugerah Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan 2017/2018 di Casuarina @ Meru, malam tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada kedua-dua atlet berkenaan.

Muhamad Hakimi menewaskan atlet menembak, Siau Zianyi, 22, dan atlet terjun Muhammad Syafiq Puteh,24.

Li Jane pula menewaskan seorang lagi atlet tenpin boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 28, dan atlet terjun, Leong Mun Yee,35.

Muhamad Hakimi 28, meraih emas pada temasya Sukan SEA 2017 bagi acara lompat kijang selain menduduki tempat ke-7 pada Sukan Asia Jakarta / Palembang dan tempat ke-9 bagi acara akhir Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Li Jane pula meraih tiga emas dan satu perak pada temasya Sukan SEA 2017 selain memenangi dua perak pada Kejohanan Boling Dunia.

Pada 2018, atlet berusia 27 tahun itu meraih emas pada KejohananTerbuka Brunswick Ballmaster, menyertai Sukan Asia Jakarta /Palembang, tempat kelima pada siri Jelajah Persatuan Boling Profesional Thailand, kedudukan lapan teratas bagi Kejohanan Terbuka Piala Samho serta meraih perak sempena Piala Dunia Qubica AMF.

Dalam pada itu atlet menembak, Loo Jie Ren menerima anugerah Olahragawan Harapan 2017/2018 manakala anugerah Olahragawati Harapan 2017/2108 menjadi milik atlet pelayaran, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri.

Majlis berkenaan turut menyaksikan skuad bola sepak Perak yang muncul juara Piala Malaysia 2018 menerima anugerah selaku pasukan terbaik manakala jurulatih menembak, Alais Neek Sulong, 48, menerima anugerah jurulatih terbaik 2017/2018.

Anugerah keluarga sukan pula menjadi milik jurulatih pasukan perahu layar Perak, Mohd Nazri Seman, 43.

Sementara itu, 10 wakil media melibatkan RTM Perak, Jabatan Penerangan, Bahagian Korporat SUK, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan Melayu (M) Bhd, Kosmo!, China Press, Oriental Daily dan Tamil Nesan menerima Anugerah Media Massa pada majlis berkenaan – sinar harian