GOPENG – Hujan lebat berlarutan sejak jam 3.30 petang tadi menyebabkan hakisan tanah berlaku hingga menumbangkan lima tiang elektrik di Taman Desa Cahaya, di sini.

Kejadian sekitar jam 3.45 petang itu tidak melibatkan mangsa dan laluan yang terhakis sepanjang hampir 30 meter itu masih selamat untuk digunakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa berkata, anggota menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang dan mendapati terdapat hakisan tanah di tebing lombong di laluan berkenaan.

“Anggota bertindak memasang sawar-sawar bagi mengelakkan kenderaan melalui kawasan tersebut dan operasi pemantauan masih dijalankan bersama pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Kampar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup sementara bekalan elektrik bagi memberi laluan kerja baik pulih dijalankan.

Katanya, hujan hari ini agak luar biasa berbanding sebelumnya menyebabkan hakisan tanah itu berlaku.

“Tambahan pula kawasan taman ini agak rendah, hujan lebat juga menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat sedalam hampir 0.4 meter, malah dua kereta penduduk juga hampir tenggelam,” katanya.

Beliau berkata, meskipun hujan belum reda, keadaan di kawasan itu kini stabil dan air mula surut – sinar