IPOH: Dalam keghairahan mencapai misi menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Hamidah Osman ‎sanggup buat sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh akal.

 Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO itu yang dipecat kerana melanggar disiplin parti, telah mempersendakan negara jiran Filipina dengan melabel wanita mereka sebagai pelacur dunia.

 Hamidah yang pernah suatu ketika dikritik hebat kerana menghina kaum India dengan kenyataannya ‘kalau jumpa India dan ular, ketuk India dulu’ menghamburkan kata-kata itu ketika berceramah di Pentas Anak Muda Selamatkan Malaysia malam tadi.

 Bekas ADUN Sungai Rapat itu mahu kepimpinan kerajaan Malaysia yang ada hari ini digulingkan kerana telah menyebabkan ekonomi negara mundur sehingga tahap kemerosotan yang teruk sekali menyamai pentadbiran kerajaan Filipina.

 Katanya keadaan ekonomi negara yang teruk ketika ini berkemungkinan menyebabkan wanita Malaysia tiada pekerjaan dan terpaksa melacurkan diri bagi menjana pendapatan.

“Filipina berjaya memastikan wanita-wanita Filipina berada di serata dunia sebagai pelacur, ini realiti, kita tidak mahu wanita kita jadi macam wanita Filipina,”katanya.

 Ceramah politik yang diadakan di RPT Kampung Tengku Hussein Baru, Ipoh itu anjuran bersama Parti Keadilan (PKR), Bersatu dan Amanah.

 Bekas ADUN Sungai Rapat itu merupakan antara tujuh penceramah berucap di majlis itu.

 ‎Beliau yang kalah ketika bertanding sebagai ADUN Sungai Rapat dalam PRU-13 turut membandingkan situasi ekonomi Malaysia hari ini yang dikatakan mundur dan mengalami kejatuhan seperti Filipina sekitar tahun 70-an.

Hamidah turut menuduh Perdana Menteri Najib mengaut keuntungan daripada perbelanjaan yang diperuntukkan untuk pembinaan keretapi dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan.

Jelasnya, perbelanjaan awal hanya memerlukan sekitar RM30 billion bagi pembinaan sepenuhnya namun tindakan Najib untuk melawat China hanyalah sekadar taktiknya untuk mendapatkan pinjaman lebih sebanyak RM 25 billion untuk keuntungan ke poket sendiri.

“Patutnya sebagai Perdana Menteri dia fkir macam mana nak tolong rakyat, bawa pelabur luar dan tawarkan pekerjaan kepada anak tempatan tetapi apa yang berlaku di Johor adalah pihak China membawa tenaga kerja malah barang mentah dari negara mereka sendiri.

” Maksudnya, tiada peluang untuk anak tempatan mendapat peluang pekerjaan, Najib buat apa, dia gadai negara ini, saya terfikir apakah keperluan mendesak untuk membuat keretapi ini, dalam keadaan negara yang sempit dengan hutang,”katanya lagi.

Malah, Hamidah juga cuba memperlekehkan perpaduan kaum di negara ini dengan mengatakan berlaku kepincangannya dalam hubungan kaum terutama dengan kaum Cina.

Beliau menuduh kerajaan selama ini sengaja menimbulkan kebencian kaum lain terhadap kaum Cina.

“Ada yang kata kita Melayu jadi bangsat tanpa UMNO, ini cara mereka,rakyat Cina negara kita dilagakan tetapi mereka ke China, boleh pula?

” Maaflah nak cakap, ini (UMNO) lebih teruk dari Cina komunis,”katanya lagi.