IPOH: Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) berjaya menempatkan 9,613 pencari kerja dengan pekerjaan yang ditawarkan sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, daripada jumlah itu, 98 peratus adalah dari golongan belia manakala bakinya mereka yang berumur lebih 40 tahun.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan pada 2011, sebanyak 50,294 penempatan pekerjaan telah dilakukan oleh PEKA dengan jayanya.

“PEKA telah mengadakan sebanyak 90 karnival kerjaya dan pendidikan di seluruh negeri sejak 2011 – 2017,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, kata beliau, sebanyak 600 program kerjaya dilaksanakan di bawah program mini karnival, skuad ronda JobsPerak, temuduga, Skills@PEKA dan jelajah kerjaya.

“Inisiatif juga diambil bagi memastikan graduan yang dihasilkan bertepatan dengan permintaan industri yang memerlukan pekerja berkemahiran untuk bersama mereka,” ujarnya.

Menurut Shahrul Zaman, sekiranya perkara itu dapat dicapai, isu aliran graduan keluar dari negeri ini dapat ditangani dan pada masa yang sama, dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi negeri Perak.

Sambil menyifatkan Bajet 2018 yang dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai bersifat bajet yang inklusif dan progresif belia, beliau berkata, banyak pengiktiran diberikan untuk golongan belia di negeri ini.

Beliau memberitahu, antara program pengiktirafan itu ilah Dewan Belia Negeri Perak dan pemilihan Tanjung Malim sebagai perintis Bandar Belia oleh kerajaan Persekutuan di bawah program 1 Malaysia Youth City (1MYC).

Katanya, kerajaan negeri juga amat berbangga apabila Tanjung Malim mencipta sejarah setelah diisytiharkan sebagai Bandar Belia Komanwel dan diperkenankan oleh Price of Wales, Putera Charles.