IPOH: Warga Ipoh membayar hampir 130,000 bil cukai taksiran secara sekaligus setahun.

Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria berkata, ia sekaligus mencatatkan kutipan RM31.9 juta.

“Pembayaran ini adalah tanda-tanda positif warga kota menyambut baik bil setahun cukai taksirab yang diperkenalkan serta cabutan bertuah yang dilaksanakan oleh MBI,” katanya ketika berucap pada majlis cabutan bertuah hadiah utama cukai taksiran MBI tahun 2019 di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, pada 27 Mac lalu, pihak MBI telah melaksanakan 230 cabutan bertuah bagi mengetahui warga kota yang berjaya menjadi pemenang.

“Pagi ini kita mengadakan cabutan khas bagi mengetahui 30 pemenang hadiah utama yang ditawarkan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, antara hadiah utama itu ialah peralatan elektrik, telefon bimbit, basikal, motosikal dan kereta.

“Pemberian hadiah-hadiah hebat ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pihak MBI kepada pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Hadiah utama sebuah kereta Proton Saga 1.3MT dimenangani seorang guru, Yeoh Teik Guan, 56, dari Taman Pinji Mewah.