IPOH: Hampir 130,000 warga Bandaraya Ipoh membayar cukai taksiran setahun sekaligus tahun ini, berjumlah hampir RM32 juta.

Sehubungan itu, mereka layak untuk menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan, termasuk sebuah kereta Proton Saga 1.3 MT.

Majlis cabutan bertuah itu diadakan di pekarangan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Rabu.

Sebanyak 230 slip cabutan bertuah iaitu 200 kupon bagi hadiah saguhati dan 30 kupon bagi hadiah-hadiah utama telah dicabut.

Cabutan disempurnakan Setiausaha MBI, Mohd Zakuan
Zakaria, ketua-ketua jabatan MBI, ahli-ahli majlis dan wakil media.

Mohd Zakuan di dalam ucapannya berkata, program itu yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu, adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pembayar-pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka pada Bandaraya Ipoh.

Menurutnya, selain sebuah kereta, MBI juga menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti motosikal, telefon pintar, basikal, barangan elektrik dan hadiah saguhati yang menarik.

“Cenderahati yang disediakan adalah dari peruntukan kewangan Majlis Bandaraya Ipoh yang dianggarkan berjumlah RM 86,000,” katanya.

Beliau mengakui sejak program cabutan bertuah itu diperkenalkan, pembayaran bil setahun cukai yaksiran telah meningkat dari tahun ke tahun.