BAWONG: Hampir 500 penduduk Orang Asli sekitar Daerah Kuala Kangsar menerima bantuan kotak barangan keperluan harian sempena program Permukiman Menteri Besar di daerah itu, mulai Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, bantuan itu disumbangkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan institusi agama di negeri ini.

Menurut beliau, bantuan itu disampaikan ketika Ziarah Mahbbah di Pos Perwor dan Kg Chermin di samping ketika Karnival Mahabbah di Kg Bawong.

“Permukiman kali ini unik kerana buat pertama kalinya Karnival Mahabbah diadakan pada hari pertama di perkampungan Orang Asli,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui selepas perasmian Karnival Mahabbah yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di pekarangan Masjid Kampung Orang Asli Bawong di sini pada Selasa.

280a47c5-5658-4c22-9147-de475fbf1c3a

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun dan pegawai kanan kerajaan.

Pada tujuh program permukiman yang terdahulu, Karnival Mahabbah diadakan pada hari Jumaat yang diikuti oleh kenduri rakyat.

Drs Nizar berkata, hasil perbualan beliau dengan beberapa orang dari masyarakat Orang Asli, mereka sangat bersyukur dengan pembangunan yang dilakukan dan berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak lupakan mereka, walaupun tinggal jauh di pedalaman.

Sementara itu, Zolkafly turut berterima kasih kerana mengadakan program permukiman di Parlimen Sungai Siput yang terletak di dalam pentadbiran Daerah Kuala Kangsar.

“Terima kasih kepada YAB Dr Zambry, barisan Exco kerajaan negeri dan ketua -ketua jabatan yang turut sama turun padanh untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat,” ujarnya.