SEJUMLAH AS$12 juta (kira-kira RM49 juta) wang Kerajaan Malaysia disyaki diseleweng susulan tangkapan pegawai di Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, setakat ini, SPRM merampas wang berjumlah $AS 6.3 juta (kira-kira RM25 juta).

“Ia susulan tangkapan sembilan suspek termasuk pegawai di MEIO dan kita sedang kumpul maklumat kesan baki wang,” katanya kepada NSTP.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 47 di Kelantan, 11 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

NSTP sebelum ini melaporkan bekas Ketua Pengarah (KP) di bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bergelar Datuk ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Suspek wanita berusia 61 tahun itu ditahan SPRM jam 4.15 petang kelmarin, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek direman mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kelmarin, tujuh pegawai daripada bahagian penyelidikan yang sama turut ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan kes yang sama.

Antara yang ditahan termasuk seorang timbalan ketua pengarah bergelar Datuk selain enam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang menjawat gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B.

Kesemua tujuh suspek berusia antara 34 hingga 49 tahun itu ditahan masing-masing di Kompleks B, JPM dan Ibu Pejabat SPRM.

Alert/SPRM syaki wang milik kerajaan berjumlah $AS 12 juta diselewengkan susulan tangkapan pegawai di Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) – Datuk Seri Azam Baki

Alert/ SPRM tahan seorang ahli perniagaan berusia 47 di Kelantan 11 malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana kerajaan oleh MEIO – Datuk Seri Azam Baki – hmetro