LARUT: Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sekitar pukul 8.45 di SK Sungai Bayor, Rantau Panjang, Selama, dekat sini.

Hamzah, yang juga calon Parlimen Larut (BN) tiba di pusat pengundian tersebut sambil ditemani oleh calon DUN Selama, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor merangkap Ketua Bahagian UMNO Larut pada pagi tadi.

Hamzah, merupakan penyandang kerusi Parlimen Larut sejak mengalahkan calon PAS, Mohd Dhari Othman pada 2008 dan kini akan cuba mempertahankannya buat penggal ketiga.

Ketika ditemui, Hamzah menyifatkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di sekitar pusat pengundian seluruh Larut menunjukkan tahap komitmen mereka yng tinggi terhadap amanah membuang undi dalam pilihan raya kali ini.

“Selepas satu jam meninjau keadaan di pusat-pusat mengundi sekitar Larut, saya dapati ramai penduduk sanggup keluar dan berbaris seawal jam 7 pagi dan ini menunjukkan semangat mereka dalam menentukan masa depan Malaysia.

“Ini membuktikan proses demokrasi di negara kita berjalan dengan baik, dan mereka telah mengetahui selok-belok proses pengundian itu, hasil inisiatif semua agensi khususnya SPR dan lain-lain pihak terlibat,”katanya kepada pemberita, ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, ketibaan awal kesemua pengundi itu diharap akan menjadi satu petanda yang baik buat dirinya serta Datuk Faizul Arby untuk kemenangan yang lebih besar berbanding PRU-13 semasa pengumuman kelak.

BERITA BERKENAANTimbalan Perdana Menteri Mengundi di Kampungnya