LUMUT: Malaysia hanya akan menghantar tentera ke Asia Barat, khususnya Palestin untuk misi keamanan, bukan berperang, jika diminta berbuat demikian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pendirian Malaysia adalah jelas iaitu untuk memastikan rantau berkenaan tidak bergolak, aman dan stabil selain mahu imej Islam tidak dicemari dengan imej negatif oleh pihak berkepentingan.

Beliau yang baru pulang dari rantau itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia bernasib baik kerana bersahabat rapat dengan negara di rantau itu yang memaklumkan sebarang perkembangan terkini.

“Bukan isu Palestin sahaja, kita mengikuti secara dekat perkembangan terkini di rantau berkenaan termasuk mendapatkan pandangan pemimpin di sana secara langsung.

“Kita juga ikuti secara dekat apa yang berlaku di Yaman, Qatar, Syria, Iraq dan Lubnan dan ini (Lubnan) lebih mendesak kerana ada anggota kita memainkan peranan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Transformasi Kompleks Mutiara Armada dan Kempen #PerkasaPerwira di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Beliau diminta menjelaskan ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, yang menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar tentera ke Palestin, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas meminta semua pihak agar tidak mensensasikan ucapannya itu sehingga keadaan menjadi tidak terkawal dan ‘berperang’ sesama sendiri.

Beliau berkata, musuh sentiasa mahu melihat orang Islam berbalah sesama sendiri sedangkan pendirian Malaysia adalah jelas dan tidak berbelah bahagi iaitu mengamalkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong, menafikan tuduhan Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, kononnya pembinaan kem tentera baharu di Segamat, Johor, bermotifkan politik khususnya bagi membantu sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Nak dekat pilihan raya ni macam-macam isu dibangkitkan mereka (pembangkang), kalau betul (bina kem tentera berniat politik), saya sebagai Menteri Pertahanan, lebih baik saya pergi (bina kem) di Sembrong.

“Mereka yang buat tuduhan itu boleh pergi ke Sembrong, tengok sama ada kem di sana sudah siap ke belum,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan kem tentera di Segamat serta kawasan lain adalah perancangan kerajaan dan mengikut perancangan ditetapkan.

Katanya, isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan dan tindakan itu boleh menjejaskan keperluan perumahan untuk anggota tentera yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara. – BH Online