BATU GAJAH : Polis sentiasa memastikan hanya 30 pembeli sahaja dibenarkan berada di dalam pasar awam di sini pada satu-satu masa bagi membendung penyebaran COVID-19.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan pelaksanaan urusan jual beli di pasar awam itu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan kerajaan.

Menurutnya, hasil pemantauan yang dilakukan, objektif kawalan had minimum pengunjung dan pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan serta Perintah Kawalan Pergerakan difahami, dilaksana dan dipatuhi.

“Para pengunjung didapati mengambil langkah-langkah pencegahan sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu memakai topeng mula dan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pemantauan yang dilakukan sejak jam 7 hingga 11 pagi Ahad, 13 pegawai dan anggota polis serta Yang Dipertua dan penguatkuasa MDBG turut memberi nasihat kepada orang ramai.