Hanya 363 atau 1.05 peratus daripada 34,713 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Perak tahun ini memperolehi keputusan cemerlang 6A.

Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Rozi Puteh Ismail berkata jumlah pelajar yang mendapat semua A bagi enam matapelajaran ketika menduduki peperiksaan itu pada September lalu.

Menurutnya peratusan rendah bagi keputusan 5A itu ekoran format baharu yang diperkenalkan di mana pelajar perlu mengambil enam kertas wajib berbanding lima pada tahun lalu.

“Ini merupakan format baharu dan pertama kali digunakan seluruh negara…memang trend peratusnya rendah dan lebih kurang seperti yang apa yang kita capai (1.05 peratus).

“Dulu lima kertas sahaja dan sekarang bila dah enam keras sudah tentu lebih sukar untuk mendapatkan semua A, tapi saya percaya ianya akan naik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas pengumuman keputusan peperiksaan UPSR 2016 Perak di Ipoh pada Khamis.

Tambah beliau kesemua calon tersebut merupakan kohort pertama yang telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Skeolah (PBS) sejak berada di tahun 1 pada 2011.

“Sejajar dengan pelaksanaan KSSR dan PBS disamping membudayakan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) maka format peperiksaan yang baharu telah ditambah baik dan diperkenalkan,” jelas beliau lebih lanjut berkenaan format baharu itu.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu daripada 34,713 calon itu juga, 23,186 (67.29 peratus) daripadanya telah menguasai peperiksaan itu (Mendapat A,B,C,D) manakala 1,010 (2.93 peratus) daripadanya memperolehi semua E (belum mencapai tahap minimum).

“Untuk calon berkeperluan khas, daripada 135 calon yang mendudukinya tiada yang mendapat semua A, 31 (22.96 peratus) menguasainya, 45 calon (33.33 peratus) mendapat semua E dan 59 (43.71 peratus) mendapat lain-lain kombinasi.

“Secara keseluruhannya Gred Purata Negeri ialah 2.97 manakala Gred Purata Nasional ialah 2.96,” ujarnya.