KUALA LUMPUR : Hanya 4,422 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia telah diluluskan bagi tempoh Mei tahun lalu hingga 15 September lalu.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan di sini berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 19,788 permohonan sahaja diterima Jabatan Pendaftaran negara daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Kata kementerian itu, jumlah itu membuktikan dakwaan pemilik akaun Twitter ‘Tengku Raja Alam Shah’ bahawa 200,000 diberikan taraf kewarganegaraan tidak benar sama sekali.

“Kementerian meminta pemilik akaun Twitter berkenaan supaya tampil membuktikan dakwaan beliau adalah sahih dan bukan tohmahan yang tidak berasas semata-mata.

“Orang ramai digesa menghentikan penyebaran maklumat tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam.

“Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang tular, justeru tindakan undang-undang akan diambil ke atas penyebar berita serta maklumat palsu,” katanya di sini hari ini.

Jelas Kementerian Dalam Negeri, hanya mereka yang memenuhi syarat yang ditetapkan dan mengemukakan dokumen lengkap layak memohon taraf kewarganegaraan.

Menurut kenyataan itu, pemberian taraf kewarganegaraan tertakluk pada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan ia merupakan penganugerahan tertinggi Kerajaan Malaysia, tidak diberikan sewenang-wenangnya.

Kenyataan tersebut turut menggariskan beberapa peruntukan mengenai pemohon taraf kewarganegaraan iaitu:

  1. Pemohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan – isteri kepada warganegara;
  2. Pemohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan – anak kepada warganegara yang berumur kurang daripada 21 tahun;
  3. Pemohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan – pendaftaran kewarganegaraan dalam keadaan khas yang berumur kurang daripada 21 tahun;
  4. Pemohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan – kelahiran di Persekutuan sebelum Hari Merdeka dan
  5. Pemohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan – secara naturalisasi dan bermastautin secara tetap.

– UTUSAN ONLINE