IPOH – Hanya 5,000 daripada 90,000 pemandu yang menawarkan perkhidmatan e-hailing di negara ini didapati berdaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Menteri Tenaga Manusia, M. Kulasegaran berkata, pihaknya berharap lebih ramai daripada golongan yang menawarkan perkhidmatan jenis itu berdaftar dengan skim yang diperkenalkan oleh kerajaan demi jaminan keselamatan sosial mereka.

“Perangkaan menunjukkan sektor ini adalah pekerjaan paling berisiko kerana mereka selalu berada di atas jalan raya. Pemandu amat memerlukan skim ini dan kami secara sukarela akan melindungi mereka.

“Jumlahnya hanya RM150 setahun dan perlindungan skim ini bukan hanya untuk diri pemandu, tetapi keluarga mereka juga sekiranya kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kaunter Khidmat Rakyat di Pasar Awam Buntong, di sini pada Ahad.

Tambah Kulasegaran lagi, pemandu e-hailing perlu belajar daripada kejadian bunuh yang membabitkan pemandu Grab ketika beliau menjalankan tugas dan pemandu itu tidak berdaftar dengan PERKESO.

“Keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa pampasan dan kita tidak mahu perkara ini berulang,” katanya.

PERKESO sebelum ini telah memperkenalkan empat jenis bayaran caruman setahun khusus untuk golongan terbabit di mana mereka boleh memilih jumlah yang sesuai dengan cita rasa dan kemampuan masing-masing.

Dibawah skim itu, pendaftar boleh membuat bayaran caruman bermula daripada RM157.20 hingga RM592.80 setahun.