PUTRAJAYA: Hanya 75 Orang Diparol (ODP) terjebak semula dalam jenayah daripada jumlah besar 17,081 parol sejak 2008 sehingga Jun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata angka itu mewakili 0.44 peratus daripada keseluruhan ODP dan merupakan pencapaian terbaik bagi Jabatan Penjara.

Jelasnya, pencapaian itu sekali gus pencapaian pendekatan korektif yang memberi sasaran positif melalui Program Pembangunan Insan, Sistem Parol dan Pemulihan Masyarakat.

“Mereka yang terjebak semula sebagai banduan berulang, ertinya 0.44 peratus. Ertinya jadi banduan biasa, keluar awal tetapi dipantau, ada 17,000. Berapa ramai yang buat jenayah berulang? Hanya 75 orang daripada 75,000.

“Ertinya lagi, dalam penjara pemulihan kemasyarakatan satu kejayaan, dan parol satu kejayaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Sistem Parol yang dibuat oleh Jabatan Penjara turut dilaksanakan di beberapa buah negara maju seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Sistem Parol adalah satu pelepasan secara Perintah Parol, yang mana penghuni yang layak boleh memohon dilepaskan bagi menjalani baki hukuman di luar penjara.

Pelepasan ini adalah berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol dan ia merupakan kesinambungan kepada program pemulihan dalam penjara iaitu Program Pembangunan Insan (PPI) yang mana 90 peratus banduan perlu mengikuti program ini.

Selain itu, Sistem Parol juga bertujuan memudahkan penerimaan penghuni dalam kalangan keluarga serta masyarakat dalam proses memulihkan mereka.

Dalam pada itu Datuk Seri Ahmad Zahid menjelaskan, antara kejayaan agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia adalah pencapaian 21 peratus kelulusan pas penggajian dalam tempoh lima hari bekerja dan 143 peratus dalam pembaharuan pasport atas talian dalam tempoh satu jam.

Jelas Datuk Seri Ahmad Zahid lagi, KDN juga akan terus mengekalkan tahap pengurusan tahap pengurusan keselamatan, kewangan, integriti dan kualiti yang tinggi agar tiada kelompongan yang boleh dijadikan modal politik dan sosial untuk diperbesarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Pada majlis sama, Datuk Seri Ahmad Zahid turut melancarkan Jurnal Koreksional Malaysia, Pemakaian Pangkat Kehormat Jabatan Penjara Malaysia, menyampaikan Sijil Penghargaan AKSEM dan penyerahan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Sementara itu, bekas banduan dari Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan, Arun Vythilingam, 39 tahun dan berasal dari Klang, Selangor menjelaskan, pendekatan korektif melalui program pembangunan insan, sistem parol dan pemulihan masyarakat telah berjaya menjadikannya kini seorang penyelia.

Arun merupakan bekas banduan yang menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun kerana melakukan jenayah rompakan berkumpulan.

Dia kini merupakan penyelia di sebuah ladang nanas di Seri Menanti sejak keluar daripada penjara pada Oktober tahun lalu.

-AstroAwani