IPOH: Tiada  parti lain di negara ini yang serius dalam membantu masyarakat India, selain Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, ia terbukti dengan terlaksananya dasar-dasar yang dibentuk oleh kerajaan pimpinan BN khusus untuk masyarakat India selama ini.
Katanya, yang terbaharu ialah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia 2.0 (MIB 2.0).
“Presiden BN (Datuk Seri Najib Razak) amat bersungguh-sungguh membantu masyarakat India; tidak hanya cakap kosong, bukan sekadar gula-gula politik tetapi ianya ikhlas dari hati; beliau amat serius.
“Ianya boleh dilihat melalui MIB 2.0, rancangan ini bukan hanya untuk parti MIC, MyPPP atau Makkal Sakthi tetapi Ianya untuk kesemua masyarakat India merentasi sempadan politik,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Perak 2017 di sini pada Ahad.
Dalam sidang media kemudiannya, Dr Zambry memberitahu, dalam konteks negeri Perak, usaha kerajaan telah membuahkan hasil apabila sokongan masyarakat India terhadap BN semakin meningkat.
“Sokongan dan dokongan masyarakat India terhadap BN Perak selama ini memang berada di tahap positif, tetapi sekarang, ianya telah meningkat menjadi lebih positif.
“Peratusannya lebih memuaskan namun ia tidak bermaksud kita boleh berhenti buat kerja, kita akan teruskan kerja dan usaha kita untuk membantu masyarakat India seperti yang telah dijanjikan.
“Kita bekerja sepanjang masa untuk mereka tanpa mengira musim pilihan raya ataupun tidak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Zambry turut menasihati semua pihak supaya tidak melaga-lagakan kepimpinan parti-parti komponen BN mahupun rakan sekutunya.
“Tidak perlulah hendak cucuk-menyucuk (tentang) kenapa ada orang dari parti ini dapat jawatan dan ada pula yang tak dapat.
“Kita di kalangan BN dan parti rakan-rakan lain selalunya mengamalkan konsep musyuwarah, kita akan berbincang.
“Saya sentiasa terbuka dan kita akan menyelesaikan permasalahan yang timbul secara baik,” jelas beliau
WhatsApp Image 2017-09-10 at 13.15.48WhatsApp Image 2017-09-10 at 13.15.36