GEORGE TOWN : Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang yang dikosongkan Dr Afif Bahardin hanya akan diisi oleh calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan menerima cadangan pencalonan wakil rakyat daripada parti lain untuk mengisi kekosongan itu selain daripada PKR.

“Kenyataan saya sebelum ini adalah jelas bahawa saya meminta agar pimpinan PKR menyerahkan senarai nama untuk diputuskan bagi mengisi kekosongan jawatan exco itu. Saya mohon (senarai nama) daripada PKR bukan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Ia adalah status quo kerana jawatan itu adalah untuk PKR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020 peringkat negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Pengerusi Amanah Pulau Pinang Dr Roslan Ahmad yang mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai exco negeri bagi menggantikan ADUN Seberang Jaya itu.

Cadangan itu dibuat berdasarkan keyakinan parti itu terhadap kemampuan dan kebolehan Muhammad Faiz selain latar belakang profesional dan pengalamannya.

Semalam, Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow enggan mengulas mengenai kenyataan Dr Afif dan Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menyatakan peletakan jawatan tersebut dibuat atas nasihat beliau.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang butiran perbincangan kerana apa yang lebih penting adalah hasil daripada perbincangan tersebut. Banyak perkara yang dibincangkan dan keputusannya adalah Dr Afif telah meletak jawatan,” katanya. – BERNAMA