JITRA: Hanya kerana tidak berpuas hati ditegur membakar sampah petang semalam, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh adik iparnya ketika bertengkar.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati kerana ditegur selepas adik iparnya yang berusia 20-an memberitahu asap dari sampah berkenaan masuk ke dalam rumahnya dalam kejadian jam 6 petang.

Berikutan itu suspek mengambil sebatang buluh dan mengugut untuk membunuh adik iparnya itu menyebabkan mangsa takut dan membuat laporan di Balai Polis Jitra, di sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata berdasarkan laporan mangsa itu, sepasukan anggota dari Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Jitra menahan suspek di rumahnya jam 10 malam tadi.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah sebelum ini mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Kami turut merampas sebatang buluh untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian