TAIPING – Hanya parti PKR dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak yang masih belum memberikan senarai cadangan nama ahli majlis di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini secara lengkap sehingga kini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong berkata, setakat ini, PKR Perak masih belum menyerahkan senarai cadangan nama lantikan ahli majlis baharu di empat PBT di Perak iaitu Taiping, Kerian, Selama dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, pihaknya bersama PBT terbabit akan menunggu penyerahan senarai cadangan nama ahli majlis baharu daripada kepimpinan PKR Perak yang difahamkan akan membuat mesyuarat khas dalam masa terdekat.

“Selain itu, senarai calon nama ahli majlis kuota lantikan badan bukan kerajaan (NGO) juga akan dikeluarkan setelah satu rundingan khas diadakan antara keempat-empat parti dalam PH Perak.

“Mesyuarat exco kerajaan negeri bulan lalu sudah menetapkan kesemua 15 PBT di Perak akan mengadakan majlis angkat sumpah ahli majlis bagi sesi baharu pada masa ditetapkan dan saya yakin tiada PBT yang bermasalah untuk memenuhi keperluan itu,” katanya kepada media pada majlis angkat sumpah dan menerima jawatan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini hari ini.

Majlis itu menyaksikan sejumlah 19 ahli majlis MPT daripada keseluruhan 25 anggota ditetapkan mengangkat sumpah bagi sesi tahun 2019-2021 di hadapan Yang Dipertua (YDP) MPT, Borhan Abdul Halim.

Pada sesi pelantikan selama dua tahun itu, seramai 18 ahli majlis bagi sesi terdahulu dilantik semula, manakala dua ahli majlis dari Bersatu merupakan muka baharu iaitu Juhari Abu Kassim dan Ahmad Man.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Ir Fadhil Nuruddin dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih.

Choo Kiong turut menegaskan kesemua empat parti dalam PH berhak membuat penukaran mana-mana ahli majlis kuota lantikan parti masing-masing pada bila-bila masa meskipun tempoh pelantikan mereka ditetapkan selama dua tahun.

Menurutnya, inisiatif ini dibuat bagi memastikan kesemua ahli majlis dilantik tidak terlalu selesa dengan kedudukan mereka dan bekerja lebih keras dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Selain itu, kerajaan Perak turut berharap kesemua PBT di Perak mencontohi 12 PBT di negeri Selangor yang mencapai penarafan lima bintang menerusi penilaian Sistem Penarafan Bintang PBT.

“Sehingga kini, sebanyak 11 daripada 15 PBT di Perak mendapat penarafan lima bintang termasuk MPT dan kita berharap mana-mana PBT yang masih lagi di bawah tahap lima bintang akan terus berusaha mencapai kedudukan terbaik,” katanya.

-SINARHARIAN