GERIK – Pengguna kenderaan yang melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dinasihatkan agar lebih berhati-hati berikutan berlaku kejadian runtuhan cerun bukit di Kilometer 140 di laluan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian tersebut mengakibatkan jalan ditutup sepanjang 60 meter dan hanya satu lorong menghala ke Jeli dibuka untuk laluan kenderaan.

Jelasnya, setakat ini, runtuhan kecil masih berlaku di lokasi kejadian.

“Papan tanda dan kon telah diletakkan di kawasan tanah runtuh untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai kejadian tanah runtuh.

“Anggota polis telah ditempatkan di lokasi kejadian untuk mengawal lalu lintas dan pemantauan berterusan akan terus dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ismail, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Belati Wangsa Sdn. Bhd. sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut.

Tambahnya, hujan juga mulai turun dan dijangka akan berlaku lagi runtuhan di lokasi kejadian. – K! ONLINE