KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia mengesahkan hanya menerima satu laporan membabitkan serangan ransomware WannaCry setakat ini.

Laporan rasmi itu diterima daripada sebuah institusi pendidikan hari ini. Bagaimanapun, agensi itu percaya lebih banyak kes berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada mereka.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab menggesa pentadbir sistem agar meningkatkan keselamatan sistem komputer.

Pengguna juga diingatkan agar berwaspada dengan serangan baharu ransomware ini dan mengelak daripada membuka pautan di laman web atau fail mencurigakan yang dihantar melalui e-mel.