IPOH-Stigma negatif yang sering bersarang di minda masyarakat berkenaan status Kolej Vokasional sebagai kelas kedua dan kurang popular wajar dihapuskan.

Pengerusi Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, oleh yang demikian kerjasama di antara kerajaan dan pihak vokasional penting bagi menghakis pemikiran sedemikian.

“Ada dalam mana-mana pemikiran sekarang, di mana ibu ayah yang hantar anak ke kolej vokasional kiranya kelas kedua, itu kita nak hilangkan.

“Kebanyakan mereka yang memimpin jabatan besar sekarang adalah asal dari vokasional, malah ada pekerjaan mereka yang keluar dari vokasional pendapatan boleh cecah RM 15,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar 2018 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Sabtu.

Dalam majlis itu seramai 384 graduan dari Kolej Vokasional Lebuh Cator, Ipoh menerima sijil dan anugerah bagi kategori masing-masing.

Tambahnya, salah satu usaha yang giat dijalankan termasuk mempelbagaikan program dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dibawa oleh pelabur.

“Salah satunya ialah mempelbagaikan pendedahan industri kepada orang-orang yang ada di persekitaran industri itu.

“Ia berkehendakkan kerjasama di antara pemain industri, kerajaan dan kolej vokasional, akhirnya nanti takkan ada stigma negatif.

“Bila ada anak nak buat (belajar) bidang sains dan kolej yang tidak berpandukan pada TVET (Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional)…kita nak padamkan itu,” katanya.

Sementara itu, Ir Nizar di dalamn ucapannya berkata, peranan Kolej Vokasional kini sama penting seperti Institusi Pengajian Tinggi lain.

“Jika dulu ramai yang memandang rendah lepasan dari Kolej Vokasional kerana merasakan mereka tidak sama seperti pelajar dari IPTA atau kolej yang bukan berasaskan teknikal.

“Pandangan ini salah sama sekali kerana pencapaian dan peranan mereka sangat diperlukan dalam menuju industri 4.0, di samping memerlukan tenaga pengusaha bersama ledakan teknologi terkini,” ujarnya.