IPOH – Dewan Perniagaan India Perak (DPIP) berharap kerajaan negeri yang baharu dapat memastikan segala projek atau kontrak dapat diberikan secara sama rata tanpa mengira kaum di Perak.

Presidennya, Sultan Abd Khader berkata, sebelum ini golongan ushawan kaum itu seperti dianak tirikan dan tidak mendapat peluang yang sama rata untuk merebut sebarang projek atau kontrak dari kerajaan negeri mahu pun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Apa kita rayu hanya diberi peluang sahaja, dulu kerajaan hanya beri kepada sesiapa sahaja yang mereka rapat atau orang tertentu sehingga kita tidak boleh bersaing secara sihat.

“Kita harap selepas ini kerajaan negeri amat keras menetapkan segalanya dibuat melalui tender terbuka dan tiada lagi sebarang peluang diberikan secara tender tertutup,” katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, DPIP juga mencadangkan kerajaan negeri melantik sekurang-kurangnya seorang wakil daripada persatuan itu dalam Ahli Majlis PBT di setiap daerah.

“Kita bukan ahli politik, jadi wajar sekiranya setiap wakil kita dilantik di setiap daerah supaya kita boleh menyampaikan hasrat masyarakat kaum India khususnya dalam bidang perniagaan ini.

“Kita percaya kepada kerajaan baharu ini, kita hanya mahu membuat perniagaan bukan berpolitik, harap bidang perniagaan dan nasib kaum India secara amnya akan lebih baik dalam masa akan datang ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha kerajaan menetapkan kadar 0 peratus bagi Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang sebelum ini disifatkan membebankan golongan peniaga serta usahwan.

“Sudah tentu selepas ini akan lebih banyak berita gembira akan diterima oleh rakyat, khususnya di Perak ini, kita akan memberi sokongan penuh kepada segala dasar baharu dan ini hanyalah permulaan,” katanya.

1/3