IPOH: Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun, dengan nada sinis berharap Datuk Zaid Ibrahim akan kekal bersama parti DAP sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau berkata, tindakan lompat parti dilihat tidak akan memberi sebarang kesan kepada UMNO dan menganggap Zaid hanya pemimpin kitar semula yang rela dipergunakan oleh DAP.

“Sebelum ini dia ahli UMNO kemudian dia masuk PKR pula, tidak lama dia tubuh parti sendiri KITA, entah apa jadi dengan parti itu sekarang dia masuk pula DAP.

“Saya tak tahu apa tujuannya tetapi saya harap Zaid tetapkan pendirian dan duduk dalam DAP sehingga ke akhir hayat, sehingga ke saat akhir hidupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Ipoh pada Selasa.

Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Selasa telah mengumumkan menyertai parti DAP.

Ianya merupakan penyertaan ketiga Zaid dalam parti politik sejak meninggalkan UMNO pada 2008.