TAMBUN – Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, Parlimen Tambun mencatatkan jumlah pengundi paling ramai di Perak seramai 89,435 orang, dan jumlah tersebut telah meningkat kepada 107,763 pengundi pada PRU-14 ini.

Parlimen Tambun mempunyai 107,763 pengundi dengan pecahan 66.32 peratus kaum Melayu, 20.22 peratus kaum Cina, kaum India 11.42 peratus, Bumiputera Sabah 0.18 peratus, Bumiputera Sarawak 0.33 peratus, Orang Asli sebanyak 1.08 peratus manakala lain-lain kaum pula sebanyak 0.45 peratus.

Dilihat dari segi pembangunan infrastruktur, Tambun yang terletak berhampiran pusat bandar Ipoh, menerima limpahan pembangunan yang banyak disebabkan kawasan Ipoh sendiri sudah pun padat dengan penduduk serta rancak dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

Namun, masih terdapat beberapa isu di Parlimen itu yang perlu dipandang serius oleh calon-calon yang bertading di kerusi P063 itu.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandang Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Pengerusi Gabungan Pembangkang PKR Perak, Ahmad Faizal Azumu dan PAS Muhamad Zulkifli Zakaria.

Suara Perak berjaya menemubual beberapa orang penduduk sekitar Tambun bagi mendapatkan pandangan mereka tentang apakah yang mereka harapakan daripada pemimpin yang bakal mereka pilih pada 9 Mei nanti.

Seorang penjawat awam dari Taman Perpaduan Koperasi 1, Mustafa Kamal Alias berkata sebagai masyarakat di Tambun beliau mengharapkan supaya pembangunan akan dapat dilaksanakan dengan lebih pesat khususnya dalam pembangunan pendidikan.

“Antara lain pembangunan perumahan membantu mereka yang berada pada paras pendapatan yang sederhana untuk memperolehi rumh sendiri khususnya golongan muda.

“Saya juga mengharapkan pembangunan imodal insan yang ditekankan dengan membina surau, masjid, dewan serbaguna yang dapat kita gunakan,” saran beliau.

Athnah Abdul Shukor, 55, penduduk di Kampung Chepor Dalam, Chepor mengutarakan masalah jalan yang tidak rata di kampung beliau.

“Makcik nak minta besarkan jalan, lepas tu tambah lampu banyak tiap kali kilat lampu selalu padam tapi takde orang baiki.

“Jangan kata sebelum ini janji lepas tu esok langsung lupa. Makcik kalau boleh, lepas je mengundi, buat,” ujar beliau.

Seorang belia di Taman Bertuah deka Chemor pula mengusulkan agar diperkenalkan dengan Karnival Sukan Rakyat dan penambahbaikan gelanggang sepak takraw.

Menurut Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah, 20, belia di kawasan perumahan itu minat dengan sukan dan sering mengadakan aktiviti termasuk kelas taekwando dan silat di Dewan komuniti Taman Bertuah.

“Setiap kali ada pertandingan sepak takraw memang mendapat sambutan yang menggalakkan dari belia, jadi diharapkan akan ada penaiktarafan kepada gelanggang sedia ada dan juga pembinaan baru untuk menggalakkan para belia di sini mengamalkan gaya hidup sihat,” kata beliau.

Mengambil maklum dengan keperluan rakyat, Husni yang akan mempertahankan kerusi yang disandang itu buat penggal keenam mengakui banyak lagi penambahbaikan yang diperlukan Tambundi sebalik transformasi yang telah dibawanya sepanjang menjadi wakil rakyat di situ sejak 1995.

“Kita mahu pastikan projek-projek perumahan mampu milik untuk rakyat ditambah. Jadi, di bawah program Rumah Mampu milik maknanya peluang untuk penduduk Tambun memiliki rumah sendiri lebih tinggi.

“Saya juga melihat kepada perancangan yang teratur macam sekarang kita Meru Raya kita tengok teratur je bangunan tapi kalau kita pergi tempat-tempat lama ia tidak begitu teratur.

“Jadi untuk pembangunan masa depan ni kita nak semua itu teratur, biarlah Tambun ini menjadi suatu kawasan semi-urban yang teratur bila kita tengok semua steady je,” tambah beliau ketika ditemui di program Perjumpaan Bersama Gerakan Belia 4BTambun dan Majlis Belia Daerah Ipoh.

Beliau juga sudah merangka agar infrastruktur yang belum dilaksanakan seperti jalan, longkang akan diselesaikan selepas pilihanraya selesai.

Mengulas mengenai modal insan, beliau berkata pembinaan 24 buah perpustakaan di kawasan-kawasan perumahan sekitar Tambun dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk memanfaatkan kemudahan itu sekaligus melengkapkan diri mereka dengan ilmu selaras dengan peranan mereka sebagai generasi akan datang.

 

BERITA BERKENAANRezab Negara Cukup Bayar Hutang Luar