BAGAN DATUK – Nilai hartanah di Bagan Datuk melonjak dua kali ganda selepas diisytiharkan sebagai daerah penuh awal Januari tahun ini.

Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin berkata, peningkatan harga tanah berkenaan mengejutkan kerana tidak sampai setahun Bagan Datuk menjadi daerah ke-12 negeri ini.

“Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk ditubuhkan dan beroperasi pada 16 Jun 2016 dan diisytiharkan sebagai daerah ke-12 secara rasmi pada 9 Januari tahun ini dan dalam tempoh berkenaan harga tanah terus naik.

“Pada 2015 harga tanah seluas 0.4 hektar bersebelahan jalan utama dari Simpang Empat, Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datuk bernilai RM60,000 hingga RM80,000, namun sekarang naik kepada RM150,000 hingga RM170,000,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan nilai hartanah secara mendadak mendorong lebih ramai penduduk kampung menjual tanah mereka kepada orang luar.

“Keadaan ini sedikit membimbangkan tetapi kerajaan tidak boleh campur tangan kerana ia adalah tanah hak milik mereka dan penduduk berhak menjualnya,” katanya.

Tambah Hamzah, beliau membuat pertemuan dan perbincangan dengan pegawai perancang bandar bagi memantau projek pembinaan perumahan atau bangunan oleh individu luar yang membeli tanah penduduk Bagan Datuk.

“Kita tidak mahu mereka mendirikan bangunan dan penempatan sesuka hati kerana pejabat tanah dan daerah sudah mempunyai perancangan 10 tahun membangunkan daerah ini secara teratur dan tersusun,” katanya.

Hamzah turut memberitahu sudah beberapa kali terserempak dengan beberapa individu luar yang melakukan tinjauan untuk membeli tanah di daerah ini.

“Mereka (pembeli) juga sudah mula meninjau tanah-tanah di jalan baroh (belakang) kerana tahu nilai tanah tersebut juga akan meningkat apabila Bagan Datuk Waterfront City siap kelak,” katanya.